Selepas keputusan diumumkan, anda boleh memohon biasiswa kerajaan (JPA, MARA dll) dan swasta (Bank Negara, Khazanah Nasional, Petronas, Shell dll). Semak laman web mereka.
Pada masa yang sama, ada di antara pelajar akan ditawarkan kursus matrikulasi dan asasi (foundation). Kursus matrikulasi dijalankan di pusat-pusat matrikulasi di seluruh negara. Manakala, kursus asasi diadakan di universiti awam (IPTA). Selepas ini, anda akan ditawarkan tempat di IPTA untuk mengikuti kursus peringkat diploma (min 2 tahun) atau ijazah (min 3 tahun).
Jika tidak berjaya mendapat biasiswa atau tawaran ke matrikulasi (tarikh tutup permohonan ialah 10 Oktober 2011) dan asasi, anda masih boleh melanjutkan pelajaran ke kolej-kolej swasta, politeknik, maktab perguruan atau mengambil STPM di sekolah-sekolah seperti MSAB. Calon STPM kemudiannya boleh memohon untuk memasuki universiti.
Untuk mereka yang ingin ke kolej-kolej swasta, pinjaman PTPTN juga disediakan (kebanyakannya). Ada pula yang menawarkan biasiswa kepada pelajar cemerlang. Pastikan kursus anjuran kolej tersebut mendapat akreditasi dan diiktiraf oleh kerajaan. Kolej-kolej ini turut menawarkan kursus-kursus perubatan, kejuruteraan dan sebagainya. Ada yang menganjurkan program 'twinning' dengan universiti luar negara di mana pembelajaran untuk 2 tahun pertama atau lebih, dijalankan di Malaysia dan tahun akhir dijalankan di luar negara. Ijazahnya juga dikeluarkan oleh universiti luar negara tersebut.