Tuesday, 23 August 2011

Biasiswa Swasta

Sebelum menduduki peperiksaan SPM, para pelajar boleh cari laman web mengenai biasiswa yang ditawarkan dan tarikh tutupnya.  Ada beberapa syarikat yang menawarkan biasiswa berdasarkan keputusan percubaan SPM.  Oleh itu adalah penting untuk mendapat keputusan yang baik bagi peperiksaan percubaan.  
  
Biasanya biasiswa yang ditawarkan adalah berdasarkan keputusan percubaan dan mempunyai tempoh yang singkat.  Selalunya, ia hanya disiarkan di laman web selama 1 minggu sahaja. Kita perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh mereka. Ada permohonan memerlukan kita menjawab beberapa soalan secara online.  Adalah penting untuk menjawab secara kreatif dan jujur.  Antara soalan yang diajukan adalah "Whats your favourite movie and Why?".  Jawapan kita adalah penting kerana ini dianggap sebagai saringan pertama sebelum pelajar yang layak disenarai pendek (shortlist). Kadang-kadang daripada 2,000 lebih pelajar yang memohon, hanya 200 pelajar dipanggil untuk pusingan seterusnya. Seterusnya pelajar akan melalui ujian IQ . Ujian IQ ini akan menguji kecekapan pelajar menjawab ratusan soalan dalam masa yang singkat. Mereka ingin menguji bagaimana seseorang dapat menjawab dengan betul dalam keadaan tertekan kerana soalan-soalannya amat susah dan terdiri daripada soalan matematik, sains, bahasa Inggeris, dan lain-lain.  Kemudian, calon yang berjaya akan melalui beberapa lagi proses saringan yang termasuk temu duga, role play dan sebagainya.

Akhir sekali hanya lebih kurang 20 calon akan ditawarkan biasiswa selepas ditemu duga oleh CEO atau lembaga pengarah. Ini hanya panduan sahaja tapi proses sebenar berbeza dari syarikat ke syarikat. Manakala, ada syarikat pula menilai calon semasa mereka menghadiri kem selama seminggu di mana setiap hari ada sahaja pelajar yang terkeluar seperti dalam Akademi Fantasia.